Ikatlah Ilmu dengan Menuliskannya

Ikatlah ilmu dengan menuliskannya – Saidina Ali Bin Abi Thalib (r.a)

Ilmu adalah penyuluh kehidupan untuk dunia dan akhirat. Lantaran itu, belajar membaca (Iqra’) adalah antara perkara terawal yang Rasulullah (SAW) pelajari melalui malaikat Jibril. Membaca adalah cabang ilmu yang mesti setiap manusia pelajari dan amalkan untuk menimba ilmu.

Begitu juga dengan menulis. Apabila kita boleh membaca, maka kita perlu menuliskannya. Membaca dan menulis adalah proses yang berterusan agar ilmu dapat disampaikan dan diteruskan dari zaman ke zaman dan dari generasi ke generasi.

Cuba bayangkan, jika ilmu-ilmu sejak dari zaman dahulu tidak ditinggalkan dalam bentuk tulisan. Apakah kesinambungan ilmu masih dapat diteruskan sehingga hari ini? Pastinya ilmu akan terputus seiring dengan perginya ilmuwan dan orang-orang terdahulu.

Sebab itulah, kita perlu menulis.

Kita tidak perlu menjadi seorang penulis bertauliah atau terlatih untuk menulis. Menulislah dari hati. Menulislah apa yang kita telah pelajari, ketahui atau amalkan. Menulis juga adalah sebagai terapi. Ia dapat merangsang otak dan pemikiran kita untuk berfikir dan merangsang sistem saraf untuk ‘bekerja’. Sebab itu, sejak dari kecil, malah peringkat bayi dan kanak-kanak lagi kita sudah digalakkan untuk memberikan anak-anak kita crayon untuk mula ‘menconteng’.

Sebagai umat Islam, kita pasti mengetahui bahawa salah satu amalan yang pahala jariahnya berterusan walaupun kita telah meninggal dunia ialah ilmu yang kita tinggalkan dan di amalkan oleh orang yang masih hidup.

Inilah peluang untuk kita jadikan penulisan kita sebagai saham akhirat yang pahalanya berterusan mengalir. Tulislah dan kongsikan agar ilmu atau perkara yang kita tuliskan itu dapat memberi manfaat kepada orang yang membaca dan mengamalkannya.

Jangan diremehkan penulisan kita. Jangan takut untuk menulis. Jangan takut jika orang katakan eh kau macam bagus jer nak menulis. Abaikan penilaian atau pandangan orang lain. Kadang-kadang, kita sendiri yang sabotaj diri kita. Orang tak kata apa pun, bahkan kita pun tak tahu seandainya ada tulisan kita tu dapat memberi manfaat pada seseorang itu. Jangan berprasangka. Selagi kita tidak menulis atau berkongsi perkara yang melanggar syariat dan undang-undang negara… maka menulislah.

Tapi di mana nak menulis agar tulisan kita dapat di baca oleh ramai orang, dapat dikongsikan dan dapat berterusan ada walaupun setelah kita meninggal dunia?

Inilah masanya kita gunakan social media untuk menulis! Jadikan ia ladang pahala kita.

Manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Antaranya kita boleh menulis di:

  • Blog
  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • TikTok

Kita boleh memilih social media yang mana yang menjadi keselesaan kita. Tiada sebarang masalah pun untuk kita gunakannya. Manfaatkan dengan sebaiknya. Contohnya jika kita selesa menggunakan blog kerana boleh menulis dengan panjang, lebih meluas dengan adanya bantuan Google Search, maka gunakan blog.

Jika menulis di blog, kita boleh menulis dengan menggunakan blog yang memperkenalkan diri kita atau sebagai anon sahaja. Itu terpulang pada keselesaan kita. Ada blogger atau penulis yang tidak mahu dikenali. Namun jangan risau, ilmu dan perkara yang kita tuliskan, InsyaAllah akan sampai juga pahalanya kepada kita.

Untuk itu, mulalah menulis. Mulakan. Make it happen. Jangan bertangguh lagi, kerana kita tidak tahu sampai bilakah kita masih lagi dikurniakan kesempatan untuk menulis. Rugi jika peluang meraih pahala secara berterusan ini jika disia-siakan. Ini dah menghampiri bulan Ramadan Kareem. Mungkin inilah masa terbaik untuk kita mula menulis dengan niat kerana Allah Taala untuk saham pahala kita.

Menulislah… kerana mungkin dengan sebaris ayat yang kita tuliskan itu dengan izin Allah dapat menjentik hati orang yang membacanya untuk melakukan kebaikan. Jangan diremehkan penulisan yang kita tuliskan. Baik akan dihisab. Buruk pun akan dihisab. Sesungguhnya jari-jari kita akan bersaksi di akhirat sana nanti. Kita mahu jari kita bersaksi di hadapan Allah (swt) nanti sebagai saksi yang dapat memberatkan timbangan amalan kanan kita. InsyaAllah.

Akhir kata, seandainya apa yang saya tuliskan dan kongsikan ini dinilai oleh Allah (swt) sebagai amalan baik saya, maka saya juga mohon kepadaNya agar anda yang membaca penulisan ini mendapat manfaat untuk dunia akhirat. Aamiin. Sampai jumpa lagi, Assalamualaikum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *