Dunia Tanpa Sempadan dengan Teknologi Digital

Perkembangan teknologi digital yang semakin pesat dan canggih telah meningkatkan lagi jumlah pengguna dan ketagihan kepada dunia siber semakin ketara. Tidak kira peringkat umur, kita dapat melihat kebanyakan daripada rakyat Malaysia memegang gadjet di tangan. Ia umpama tidak dapat dilepaskan atau dipisahkan. Sekejap saja berpisah dengan gadjet, boleh jadi tidak keruan. Betapa besarnya impak dan pengaruh gadjet dan dunia digital kepada masyarakat hari ini.

Perkara ini perlu dilihat secara menyeluruh kerana dunia digital tanpa sempadan membawa kebaikan dan keburukan. Namun begitu, ia bergantung kepada individu itu sendiri bagaimana untuk menggunakannya yang membawa kesan kepada dirinya sendiri, keluarga, organisasi dan masyarakat. Semuanya atas keperluan dan kehendak yang berpaksikan kepada akal fikiran. Jika digunakan untuk tujuan yang baik, maka baiklah hasilnya, dan begitu juga sebaliknya.

Dunia digital tanpa sempadan membolehkan perhubungan sosial diteruskan tanpa mengira di mana saja berada. Walaupun berjauhan di mana benua sekalipun, dengan adanya teknologi, kita masih dapat berhubung. Contohnya ketika PKP dilaksanakan, kita masih lagi boleh berhubung dan ‘bersua muka’ dengan ahli keluarga melalui video call atau google meet. Bukankah itu adalah kebaikan dunia digital? Bayangkan jika kita tidak dapat menggunakan teknologi ini? Pasti semakin terseksa rasanya terpaksa berkurung.

Begitulah perkembangan dunia digital membantu dalam kita menjalani kehidupan seharian. Urusan perniagaan, perbankan,bisnes online, pembelajaran online dan sebagainya dapat dijalankan dan ia sangat membantu memudahkan urusan. Betapa beruntungnya kita yang dapat menggunakan semua kemudahan ini dalam kehidupan seharian. Bagi mereka yang suka ber-shopping, dengan adanya platform seperti Shopee dan Lazada, ia sudah cukup membuatkan anda tak menang tangan untuk menerima parcel yang sampai ke rumah! Betul tak?

Dari segi pendidikan pula, eLearning yang suatu masa dulu kita rasakan seperti mustahil untuk dilaksanakan, khususnya kepada pelajar sekolah rendah, namun sejak pandemik Covid-19 melanda dunia, ia dapat dilaksanakan. Selama hampir 2 tahun PdPR dilaksanakan. Walaupun timbulnya pelbagai isu kerana kekangan dan tanpa pengalaman, namun ia dapat membantu pihak Kementerian Pendidikan, sekolah, pelajar dan ibu bapa meneruskan sesi persekolahan secara PdPR. Kini, anak-anak sudah kembali ke sekolah. Pengalaman tersebut adalah sangat berharga untuk kita seluruh rakyat Malaysia.

Untuk itu, dunia digital tanpa sempadan adalah perkara yang perlu kita syukuri dan gunakan dengan sebaik-baiknya. Pelbagai peluang telah datang bagi yang bijak menggunakan dunia digital untuk tujuan pendidikan, pembelajaran, pekerjaan, pelaburan, bisnes, hobi dan sebagainya. Kehidupan kita juga menjadi semakin mudah dan dapat menjimatkan banyak masa dan tenaga dalam urusan harian. Kita tidak perlu lagi beratur di bank untuk membuat bayaran. Cukup memegang handphone sahaja di tangan, kita sudah boleh membuat transaksi tersebut.

Maka, gunakanlah kemudahan digital dengan sebaiknya. Kita yang berada pada zaman ini sedang berada di puncak perkembangan dunia digital. Sungguh pun begitu, dunia digital berkembang dengan sangat pesat seiring dengan perkembangan ilmu dalam bidang teknologi komputer dan teknologi maklumat. Kita tidak tahu bagaimana lagi bentuk teknologi digital yang akan kita gunakan pada masa akan datang. Namun, sebagai pengguna yang bijak, gunakanlah kemudahan teknologi digital yang ada untuk kebaikan yang membawa keselamatan dan keberkatan dunia dan akhirat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *